March 06, 2016

"Perkara yang Paling Sulit.."





Sering diri ini tertanya, apakah perkara yang paling sulit di dalam hidup ini? Menyayangi seseorang dengan sepenuh hati, menerima dugaan hidup yang perit, menjadi seorang yang hidup miskin atau tidak mempunyai sesiapapun tempat untuk bergantung hidup??

Kini, diri semakin hampir dengan jawapan. Pengalaman hidup membuatkan saya mengerti dan mengubah cara saya melihat pengertian dan makna mengenai perkara yang paling sulit dalam hidup.

Kisah ini bermula.. bekerja dengan sepenuh hati. Siang dan malam. Setiap kali tubuh merasa lelah, hati cepat-cepat kembali teringat pada kedua ibu bapa dan adik beradik yang lain, lelah ini terus segera terbang ke langit. Kini, saya yang harus berbakti terhadap keduanyaa. Membalas semua jasa, perit dan payah keduanya. Itu janji setia anak terhadap ibu bapanya. 

Pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi untuk mencapai cita-cita iaitu berhasrat untuk membahagiakan keluarga. Mungkin hidup ini tidak sekaya dan semampu seperti orang lain, tapi itu bukan pengukur kepada kebahagian dan bukan juga kunci kepada kegembiraan. Jelas, hidup susah dan tidak mampu bukan lagi perkara yang paling sulit di dalam hidup saya. Kerana, saya masih mampu berusaha untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik. Bahkan, masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa.

Cabaran hidup semakin menduga saya. Alam pekerjaan semakin menjadikan saya lemah dan lelah. Kadang-kadang di atas dan kadang di bawah. Itu bukan menjadi persoalan. Bahkan yang menjadi persoalan yang membuatkan saya semakin berasa sulit adalah orang-orang disekeliling. Kadang diri ini dipijak, yang hairannya bukan fizikal badan yang sakit.. tapi hati ini yang semakin parah. Hari-hari sedih dan tertekan. Tapi saya masih mampu mengubati hati yang sedih. Pelbagai cara yang saya lakukan dan cara yang terbaik adalah doakan kebahagian mereka dan doakan agar pintu hati mereka terbuka untuk menerima saya seadannya. Kini, saya tersenyum lagi dan perkara yang menyedihkan itu hilang dengan pantas. Justeru, itu bukan lagi perkara yang paling sulit di dalam hidup saya. 

Setiap saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari dan hari berganti minggu seterusnya bulan dan tahun.. semuanya berlalu begitu pantas.. namun, ada satu yang masih membuatkan hati dan dada ini sendu. Ibu bapa dan adik beradik. Merindui mereka adalah hal yang amat perit bagi saya. Ingin pulang tapi belum tiba masanya. Perancangan Allah itu adalah yang terbaik. Allah tidak akan pernah salah. 

Allah itu maha mengetahui. Dia akan menguji hambaNYA pada tahap yang hamba mampu menanggung. Allah tidak akan pernah zalim.. cuma kita yang sebagai hambaNYA yang sulit untuk mengerti dan mencari jawapan, mengapa ujian itu datang dan mengapa kita yang dipilih. Jawapannya adalah sabar. Banyak-banyakkan bersabar ketika kita berhadapan dengan perkara sulit mahupun dugaan. 

Dengan itu, saya memahami persoalan itu.. "perkara yang paling sulit dalan hidup" adalah apabila kita cuba mengerti sebab ujian ALLAH di datangkan kepada kita. Jawapan itu hanya ada pada istilah Sabar. Sabar sememangnya cukup sulit dan memerlukan masa yang panjang. 

"..Allah tidak pernah memberi kisah yang sia-sia terhadap hambaNYA.."